Ingin Tahu ?
Saturday, October 24, 2026
Menghitung Hari
Saturday, October 17, 2026
Kubang Badak Penuh Memori
Menyingkap kembali lipatan sejarah hidup, pada penghujung tahun 1995, sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan, aku mengambil keputusan untuk berhijrah ke Pulau Langkawi. Berbekalkan seribu impian dan harapan untuk mengubah nasib diri, aku menjejakkan kaki ke pulau legenda ini demi mencari rezeki.
Di sana, aku menumpang teduh di Kampung Kubang Badak tinggal
bersama Ngah Usop. Kebetulan waktu itu Ngah tinggal seorang diri kerana
anak-anaknya semua berada di asrama.
Di Kampung Ewa dan Kubang Badak, nama 'Lan' langsung tidak kedengaran. Orang-orang kampung mengenali dan memanggil aku dengan panggilan Awang. Nama yang dipanggil oleh orang kampung aku sejak kecil. Nama 'Lan' hanya wujud apabila aku berada di tempat kerja sahaja. Penduduk kampung di situ semuanya sangat baik dan ramah. Antara nama nama tidak pernah aku lupa anataranya Paktam Baharom ,Bang Ya, bang lie (Boli) Bang Add . Bang Duan , Bang Ban dan ramai lagi.
Di tempat kerja pula, muncul satu lagi gelaran unik. "Lan
Lanun"—itulah nama usikan yang selalu meniti di bibir Bang Din
(atau Pak Din). Arwah dahulu merupakan seorang penyelia landscape di
tempat kerja aku, merangkap seorang imam muda di Masjid Ewa. Kenangan bersama
arwah memang tidak akan aku lupakan. Yang selalu pangil kami anak luar Langkawi
makan nasi dirumah beliau.(kenduri katanya) Semoga Arwah ditempatkan bersama para sollehin.
Takdir tuhan itu indah. Siapa sangka, minggu lepas aku
dikejutkan dengan kehadiran seorang rakan lama dari Kampung Ewa yang datang ke
tempat aku atas urusan seminar. Hindun. Kalau dikira-kira, sudah terlalu
lama kami tidak bersua muka sejak aku berhenti kerja dari The Andaman
pada tahun 2002.
24 tahun! Angka yang bukan sekadar nombor, tetapi
satu jangka masa yang amat panjang.
Petang itu berjalan seperti biasa. Sebelum pulang, sambil berdiri di kawasan lobi memerhatikan gelagat tetamu, tiba-tiba aku disapa oleh seseorang.
"Lan, hang kenai aku tak?"
Aku tergamam seketika. Mata aku merenung tajam raut wajah di
hadapan aku. Sesaat kemudian, memori lama menerpa laju.
"Mau aku tak kenal... Hindun!" jawapku
spontan sambil tersenyum lebar.
Sayangnya, waktu tidak menyebelahi kami untuk berbual
panjang. Hindun dan rombongannya dari Langkawi sudah bersiap sedia untuk
bergerak pulang.
Hindun... dialah insan yang suatu ketika dahulu bersama-sama aku sebagai kakitangan bahagian housekeeping. Bersama beberapa rakan yang lain, kami pernah mengecap dan berkongsi zaman kegemilangan bersama di The Andaman. Pertemuan singkat petang itu, walaupun cuma sekadar bertanya khabar, sudah cukup untuk menghidupkan semula memori indah 24 tahun yang lalu.
Sunday, September 27, 2026
Belanjawan Siapa Terkesan
Seperti biasa, apabila hampir masuk bulan Oktober, kami yang berada dalam industri hotel mula sibuk merangka budget untuk tahun 2027. Angka demi angka dikira, sasaran ditetapkan, dan akhirnya semuanya perlu dibentangkan kepada CEO serta pasukan pengurusan.
Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan dapat disiapkan mengikut jadual. Tapi cerita aku kali ini bukanlah tentang budget hotel.
Ia berkisar tentang Belanjawan Kerajaan Malaysia yang dijangka dibentangkan pada minggu pertama Oktober. Hari ini, ada satu keratan akhbar yang bermain di media sosial mengenai kemungkinan gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada satu jumlah yang masih belum dipastikan. Kalau perkara ini benar-benar berlaku, bertapa beruntungnya adik-adik yang baru hendak memulakan kerjaya. Hehehe...
Kalau aku dulu mula bekerja, gaji pokok cuma RM230 sahaja. Tolak, tambah, darab dan bahagi, dapatlah lebih kurang RM700 lebih sebulan dengan segala elaun dan sebagainya. Zaman berubah.
Dari tahun ke tahun, kos sara hidup juga semakin berubah. Barang semakin mahal, keperluan hidup bertambah dan kerajaan tentunya perlu memikirkan pelbagai pendekatan untuk menangani perkara ini. Persoalannya, kalau gaji minimum dinaikkan, adakah masalah kos sara hidup akan selesai? Tepuk dada, tanya iman. Aku sendiri tidak ada jawapan yang mudah untuk persoalan itu.
Namun, aku berharap apa juga pendekatan yang diambil nanti benar-benar dapat memberi manfaat kepada anak-anak muda Malaysia. Terutamanya mereka yang baru hendak melangkah ke alam pekerjaan. Dan satu lagi pesan aku kepada adik-adik yang baru hendak membina kerjaya: Jangan terlalu memilih kerja. Ambillah peluang yang ada. Mulakan dari bawah. Kumpul pengalaman. Belajar sebanyak mungkin.
Sebab dalam dunia pekerjaan, bukan semuanya tentang berapa besar gaji yang kita dapat pada hari pertama. Kadang-kadang pengalaman, kemahiran, disiplin dan kenalan yang kita bina sepanjang perjalanan itu jauh lebih bernilai.
Kalau benar berlaku kenaikan gaji minimum, sudah tentu bukan pekerja sahaja yang akan terkesan. Antaranya ialah syarikat-syarikat swasta dan juga GLC. Apabila kos tenaga kerja meningkat, syarikat tentunya perlu melihat semula struktur kos dan sasaran pendapatan mereka untuk tahun 2027. Dan bila sasaran pendapatan dinaikkan... Siapa pula yang akan menjadi sasaran untuk memastikan sasaran itu tercapai?
Sudah tentu pasukan pengurusan perlu memikirkan pelbagai strategi. Bagaimana nak tingkatkan produktiviti? Bagaimana nak tambah revenue? Bagaimana nak kawal kos?Bagaimana nak pastikan pelanggan terus datang? Dan akhirnya... Hehehe...
Sakit kepala lagilah orang-orang macam aku dan sahabat sahabat aku. Begitulah dunia pekerjaan. Bila gaji naik, harapan pekerja meningkat. Bila kos meningkat, tekanan syarikat juga meningkat. Dan di tengah-tengah semua itu, orang seperti kami di bahagian pengurusan perlu mencari jalan supaya kedua-duanya dapat berjalan seiring. Aku selalu berpesan kepada adik-adik aku:
“Kalau makin tinggi pokok, makin kuatlah angin meniup.”
Maksudnya mudah. Kalau kita mahu naik lebih tinggi dalam kehidupan dan kerjaya, tanggungjawab dan cabaran yang datang bersama-sama dengannya juga akan semakin besar. Jadi jangan takut dengan cabaran. Belajarlah menghadapinya.
Sebab mungkin satu hari nanti, adik-adik dan sanak saudara yang hari ini baru mula bekerja dengan gaji minimum itu pula yang akan duduk di kerusi pengurusan, merangka budget 2035 atau 2040. Dan masa itu... Sakit kepala mereka pula!
Hahaha. Itulah roda kehidupan.
Saturday, September 12, 2026
Perjalanan Rohani
Aku Pendosa, Ingin Juga ke Syurga
Guru-guru selalu mengajar kita bahawa jodoh, rezeki dan ajal adalah rahsia Allah. Kita tidak tahu bila, di mana dan bagaimana semuanya akan berlaku.
Begitu juga dengan perjalanan ke Tanah Suci.
Kita boleh merancang, menyimpan duit, membuat persiapan dan memasang niat. Tetapi akhirnya, Allah juga yang menentukan siapa yang akan menjadi tetamu-Nya.
Pada suatu hari, aku bertanya kepada sepupu aku, Mizan, seorang insan istimewa atau OKU.
Aku tanya saja-saja…
“Mizan, hang nak pi umrah tak?”
Tanpa berfikir panjang, dia terus menjawab,
“Nak! Cek nak pi, Bang Ca!”
Aku terdiam sekejap. Dalam hati aku berkata,“Biar betul budak ni…”
Tapi daripada jawapan spontan itulah, bermulanya satu perjalanan yang aku sendiri tidak pernah sangka.
Bermula dengan Sebuah Janji
Pada cuti minggu aku, aku tunaikan janji kepadanya. Aku bawa Mizan untuk membuat pasport. Selepas itu, kami terus ke TH Travel untuk bertanyakan urusan pendaftaran umrah.
Dalam kepala aku ketika itu, macam-macam yang bermain. Boleh ke dia pergi? Lepas ke urusan dia? Ada banyak benda yang perlu diuruskan. Tetapi aku cuba buat satu-satu.Yang penting, dia sudah menyatakan hasrat. Dia nak pergi umrah.
“Cik, Kami Permudahkan Urusan Dia…”
Sampai di imigresen, aku periksa kad OKU Mizan. Aku tengok kad yang dia bawa sudah tidak seperti kad OKU yang baharu.Dalam hati aku terus berkata,
“Haa… sah kena balik dah ni. Sekejap lagi mesti tak boleh buat.”
Nombor giliran 6001 dipanggil.
Kami pun pergi ke kaunter. Aku terangkan kepada pegawai tersebut tentang urusan kami. Aku serahkan kad OKU Mizan. Pegawai itu melihat kad tersebut lalu berkata,
“Cik, ini kad lama. Sekarang sudah ada kad baharu. Cik kena buat kad baru.”
Aku pun cuba menjelaskan keadaan.
“Kad tu saja yang dia ada. Saya pun tak tahu sebab dia tak tinggal dengan saya. Boleh tak cik tolong?”
Pegawai itu bertanya lagi, “Dia nak pergi mana?” Aku jawab,“Nak pi umrah.”
Pegawai itu kemudian bangun dan pergi ke belakang.
Dalam hati aku sudah bersedia kalau-kalau kami terpaksa pulang. Tidak lama kemudian, pegawai itu datang semula ke kaunter. Lalu dia berkata sesuatu yang sampai hari ini masih aku ingat:
“Cik, kami permudahkan urusan dia.”
Aku hanya mampu jawab,
“Alhamdulillah…”
Saat itu aku terasa sesuatu.
Kadang-kadang apa yang kita fikir akan menjadi penghalang, Allah boleh bukakan jalan dengan cara yang kita sendiri tidak sangka.
Satu urusan selesai.
Kami pun terus menuju ke TH Travel. Sampai di TH Travel, seperti biasa Mizan masuk dengan wajah ceria.
Dia angkat tangan dan memberi salam kepada semua orang. Pegawai-pegawai di TH pun sempat mengusik dan bergurau dengannya. Aku pula sibuk mengambilkan beg untuk dia.
Tapi kalau nak tahu betapa seronoknya Mizan waktu itu…Allah saja yang tahu.
Dia bukan sekadar berkata nak pergi. Dia sudah mula merasakan bahawa dia benar-benar akan pergi. Balik ke rumah, satu kampung dia cerita.
“Aku nak pi umrah!”
Dia cerita kepada semua orang. Sampai boss di tempat kerja dia pun telefon aku.
“Lan, betul ke Jan nak pi umrah?”
Aku faham kenapa orang bertanya. Mungkin ada yang tidak percaya. Mungkin ada yang tertanya-tanya sama ada Mizan benar-benar mampu untuk pergi.
Tetapi aku terfikir…
Siapa kita untuk menentukan siapa yang Allah pilih?
Siapa Sebenarnya Yang Dijemput?
Kadang-kadang aku duduk seorang diri dan terfikir. Ada orang yang cukup duit. Ada orang yang sihat. Ada orang yang lebih berkemampuan. Ada orang yang sudah lama menyimpan hasrat untuk ke Tanah Suci. Tetapi belum sampai jemputan-Nya. Mizan pula…
Seorang insan istimewa. Dengan segala kekurangan yang ada pada dirinya, dia tiba-tiba berkata,
“Cek nak pi umrah.”
Dan selepas itu, satu demi satu urusannya dipermudahkan.
Imigresen dipermudahkan. Urusan pendaftaran dipermudahkan. Hatinya pula begitu kuat untuk pergi.
Aku terfikir…
Mungkin benar Allah sudah melambai kepadanya.
Mungkin Allah sudah menjemputnya dengan cara yang hanya Allah tahu. Kita selalu melihat seseorang berdasarkan apa yang ada pada dirinya. Tetapi Allah melihat dengan cara yang berbeza. Kita nampak kekurangan.
Allah mungkin melihat keikhlasan.
Kita nampak ketidakmampuan.
Allah mungkin melihat hati yang bersih.
Kita nampak seorang insan istimewa.
Tetapi mungkin di sisi Allah, dia mempunyai sesuatu yang jauh lebih istimewa daripada apa yang kita nampak.
Aku Juga Ingin Ke Syurga
Perjalanan ini sebenarnya bukan hanya tentang Mizan.
Ia juga mengajar aku sesuatu. Bahawa jangan pernah rasa diri kita terlalu baik untuk menghakimi orang lain. Dan jangan pernah rasa seseorang itu terlalu kecil untuk mendapat rahmat Allah. Aku sendiri bukanlah orang yang baik. Aku banyak dosa. Banyak kekurangan.
Banyak perkara yang aku masih perlu perbaiki. Tetapi dalam hati ini ada satu keinginan yang aku tidak pernah mahu lepaskan…
Aku ingin Allah ampunkan dosa-dosa aku dan seluruh keluarga dan sahabat2 . Aku ingin Allah terima taubat aku. Aku ingin satu hari nanti, Allah pandang aku dengan rahmat-Nya. Dan kalau benar Mizan sedang dilambai untuk menjadi tetamu Allah…aku tumpang bahagia. Malah aku tumpang berharap. Semoga Allah permudahkan perjalanan kami dari mula hingga pulang. Semoga Allah berikan kami kesihatan dan kekuatan. Dan semoga perjalanan ini bukan sekadar perjalanan menuju Tanah Suci…
Tetapi menjadi perjalanan hati kami kembali kepada Allah. Kerana akhirnya, kita semua sedang menuju tempat yang sama.Kita cuma tidak tahu… siapa yang akan sampai dahulu.
Ya Allah…
Jika benar Engkau telah melambai kepada kami, jangan Kau palingkan kami daripada jemputan Mu. Permudahkanlah. Lindungilah. Ampunilah. Dan terimalah kami sebagai tetamu-Mu.
Aku pendosa, ingin juga ke syurga.
Amin ya Rabbal ‘alamin.
Tuesday, August 25, 2026
Daripada Linen Porter, Allah Bawa Aku Berdepan VVIP
Alhamdulillah.
Pada 14 hingga 16 Ogos 2026, Raia Hotel menerima kunjungan VVIP apabila Tuanku Sultan Pahang dan Putera Mahkota Pahang berkenan mencemar duli bersemayam di hotel kami.
Bagi tetamu biasa, mungkin mereka hanya melihat sebuah hotel yang kemas, selesa dan teratur. Tetapi bagi kami yang berada di belakang tabir, kehadiran seorang VVIP membawa cerita yang jauh berbeza. Apabila mendapat tahu Tuanku akan bersemayam di hotel, persiapan mula dilakukan dari segenap sudut. Setiap perkara perlu diperiksa dan dititikberatkan. Bilik, linen, kebersihan, laluan, kawasan sekitar, makan Tuanku dan segala keperluan Tuanku perlu dipastikan berada pada tahap terbaik.
Bukan kerana mahu menunjuk. Tetapi kerana kita membawa nama hotel dan dalam masa yang sama, kita memikul amanah untuk memastikan sepanjang tempoh Tuanku berada di sini, semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Itulah dunia kerja yang jarang dilihat oleh orang luar. Orang nampak tetamu masuk dengan senyuman. Orang nampak bilik sudah siap. Orang nampak semuanya berjalan seperti biasa. Tetapi di belakang semua itu ada sekumpulan manusia yang bekerja keras memastikan perkara-perkara kecil tidak menjadi masalah besar.
Dalam kesibukan membuat persiapan, ada satu perkara yang cukup menarik perhatian aku. Tuanku sendiri sangat bersahaja. Bila diajak bergambar, Tuanku tidak menunjukkan sebarang keberatan. Malah dengan tenang sahaja melayan permintaan kami.
Begitu juga dengan Tengku Mahkota Pahang. Sempat aku berbual dengan baginda dan yang paling membuat aku tersenyum apabila baginda bertanyakan umur aku. Hahaha… perkara kecil seperti itu mungkin biasa bagi sesetengah orang, tetapi bagi aku, ia menjadi satu kenangan yang akan aku simpan. Sebab kita bukan setiap hari berpeluang berdiri begitu dekat dengan seorang Raja dan Putera Mahkota.
Aku dan En Zahari Bergambar bersama Tuanku
Aku Pernah Terfikir Akan Sampai Ke Tahap Ini?
Kadang-kadang bila kita sedang sibuk bekerja, kita tidak sempat pun untuk berhenti seketika dan melihat sejauh mana perjalanan yang sudah kita lalui. Aku sendiri kalau dikenang kembali zaman awal mula bekerja, tidak pernah terlintas dalam fikiran aku bahawa suatu hari nanti aku akan berdepan dan bersua muka dengan Ketua-Ketua Negara, pemimpin-pemimpin serta tetamu kenamaan dari pelbagai negara. Aku bermula sebagai seorang linen porter. Kerja yang mungkin pada pandangan sesetengah orang tidak begitu besar. Tetapi dari situlah perjalanan aku bermula. Aku belajar tentang disiplin. Aku belajar tentang tanggungjawab. Aku belajar bahawa dalam industri hotel, walaupun kita bekerja di belakang tabir, tugas kita tetap penting.
Satu ketika dahulu, semasa aku bertugas di salah sebuah hotel di Langkawi, aku pernah diarahkan untuk menjaga bilik seorang Presiden Afrika Selatan.
Bayangkan… Seorang yang bermula sebagai linen porter, akhirnya diberi kepercayaan untuk menjaga bilik seorang pemimpin sebuah negara. Kalau aku fikirkan semula, memang kadang-kadang aku sendiri rasa seperti tidak percaya. Tetapi itulah kehidupan. Kadang-kadang Allah membawa kita ke tempat yang langsung tidak pernah kita bayangkan. Pengalaman ini mengajar aku satu perkara.
Jangan pernah malu dengan permulaan kita.
Jangan malu kalau kita bermula dari bawah.
Jangan malu dengan kerja yang orang anggap kecil.
Jangan malu dengan jawatan yang tidak mempunyai nama besar.
Kerana kita tidak tahu ke mana Allah akan membawa kita selepas itu. Hari ini mungkin kita hanya memegang tugas kecil. Esok mungkin kita diberi amanah yang lebih besar. Hari ini mungkin kita bekerja di belakang tabir.
Esok mungkin kita berdiri berhadapan dengan orang-orang yang selama ini hanya kita lihat di televisyen. Yang penting, buatlah kerja kita dengan sebaik mungkin. Kerana kadang-kadang rezeki bukan datang dalam bentuk duit semata-mata. Rezeki juga datang dalam bentuk pengalaman, kepercayaan, peluang, kenalan dan kenangan yang tidak boleh dibeli dengan wang. Dan itulah antara rezeki yang Allah berikan sepanjang perjalanan kerjaya aku.
Tetapi bagi aku, setiap langkah itu adalah tanda bahawa Allah sedang menyusun perjalanan hidup aku dengan cara yang jauh lebih indah daripada apa yang pernah aku rancangkan. Alhamdulillah atas segala rezeki. Alhamdulillah atas segala pengalaman. Dan paling penting, Alhamdulillah kerana Allah tidak pernah sia-siakan usaha orang yang mahu terus bekerja dan belajar.
Kita mungkin tidak tahu ke mana arah perjalanan hidup kita. Tetapi teruskan melangkah. Kerana boleh jadi, pekerjaan yang kita anggap kecil hari ini sebenarnya sedang menjadi jalan untuk Allah membawa kita kepada sesuatu yang jauh lebih besar pada masa akan datang.
Kita hanya merancang. Allah yang menentukan perjalanan. 🤲🏻
Tuesday, July 21, 2026
Exit Plan 2
Kadang2 terfikir ada apa aku nak buat kalau dah tak kerja, selain niaga kerisik apa lagi yang aku boleh buat. pelihara kambing tiada kawasan, Pelihara ungas ? ok juga hanya sekeliling kampung sahaja. akhirnya aku cuba ayam dan puyuh.
Sudah hampir setahun aku berkecimpung dalam peliharaan puyuh, kenapa puyuh aku pilih untuk ternak jika pencen nanti. Ramai orang kata pelihara puyuh jenuh angkut dedak, sebenarnya salah tanggapan tu. untuk kawal makanan dia kita perlu bagi ikut sukatan dan masa tertentu, jika kita letak makanan tak ikut sukatan dan masa itulah yang menyebabkan ada perkataan jenuh angkut dedak.
Bagi menimba ilmu aku masuk live orang2 yang dah berjaya dalam industry puyuh dapatkan tip tip cara peliharaan dari penetasan telor sahingga la pungut hasil. Alhamdulillah kini kini puyuh aku dah 300 ekor dalam suatu masa, menghasilkan pendapatan sampingan dan aku kata pada anak2 aku ni ATM mesin jaga elok2 hari - hari boleh tekan duit. Sekarang hasilnya dah mencapai sehari RM 20, bayangkan kalau aku pelihara 500 ekor.
Ada seorang sahabat aku Rohana dia memaklumkan kepada aku bahawa dia ada maklum pada jabatan haiwan tentang usaha yang aku sedang buat, Dia pula sedang pelihara kambing dia sarankan aku ke Jabatan Haiwan untuk aku besarkan lagi usaha aku dan mendapat bimbingan dan bantuan dari kerajaan . Idea yang bagus, cuma aku masih tidak berkesempatan untuk ke Pejabat berkenaan, insyaallah akan aku usahakan untuk mendapat pandangan dan bantuan Jabatan bila kelampangan.
