Saturday, October 24, 2026
Menghitung Hari
Saturday, October 17, 2026
Kubang Badak Penuh Memori
Menyingkap kembali lipatan sejarah hidup, pada penghujung tahun 1995, sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan, aku mengambil keputusan untuk berhijrah ke Pulau Langkawi. Berbekalkan seribu impian dan harapan untuk mengubah nasib diri, aku menjejakkan kaki ke pulau legenda ini demi mencari rezeki.
Di sana, aku menumpang teduh di Kampung Kubang Badak tinggal
bersama Ngah Usop. Kebetulan waktu itu Ngah tinggal seorang diri kerana
anak-anaknya semua berada di asrama.
Di Kampung Ewa dan Kubang Badak, nama 'Lan' langsung tidak kedengaran. Orang-orang kampung mengenali dan memanggil aku dengan panggilan Awang. Nama yang dipanggil oleh orang kampung aku sejak kecil. Nama 'Lan' hanya wujud apabila aku berada di tempat kerja sahaja. Penduduk kampung di situ semuanya sangat baik dan ramah. Antara nama nama tidak pernah aku lupa anataranya Paktam Baharom ,Bang Ya, bang lie (Boli) Bang Add . Bang Duan , Bang Ban dan ramai lagi.
Di tempat kerja pula, muncul satu lagi gelaran unik. "Lan
Lanun"—itulah nama usikan yang selalu meniti di bibir Bang Din
(atau Pak Din). Arwah dahulu merupakan seorang penyelia landscape di
tempat kerja aku, merangkap seorang imam muda di Masjid Ewa. Kenangan bersama
arwah memang tidak akan aku lupakan. Yang selalu pangil kami anak luar Langkawi
makan nasi dirumah beliau.(kenduri katanya) Semoga Arwah ditempatkan bersama para sollehin.
Takdir tuhan itu indah. Siapa sangka, minggu lepas aku
dikejutkan dengan kehadiran seorang rakan lama dari Kampung Ewa yang datang ke
tempat aku atas urusan seminar. Hindun. Kalau dikira-kira, sudah terlalu
lama kami tidak bersua muka sejak aku berhenti kerja dari The Andaman
pada tahun 2002.
24 tahun! Angka yang bukan sekadar nombor, tetapi
satu jangka masa yang amat panjang.
Petang itu berjalan seperti biasa. Sebelum pulang, sambil berdiri di kawasan lobi memerhatikan gelagat tetamu, tiba-tiba aku disapa oleh seseorang.
"Lan, hang kenai aku tak?"
Aku tergamam seketika. Mata aku merenung tajam raut wajah di
hadapan aku. Sesaat kemudian, memori lama menerpa laju.
"Mau aku tak kenal... Hindun!" jawapku
spontan sambil tersenyum lebar.
Sayangnya, waktu tidak menyebelahi kami untuk berbual
panjang. Hindun dan rombongannya dari Langkawi sudah bersiap sedia untuk
bergerak pulang.
Hindun... dialah insan yang suatu ketika dahulu bersama-sama aku sebagai kakitangan bahagian housekeeping. Bersama beberapa rakan yang lain, kami pernah mengecap dan berkongsi zaman kegemilangan bersama di The Andaman. Pertemuan singkat petang itu, walaupun cuma sekadar bertanya khabar, sudah cukup untuk menghidupkan semula memori indah 24 tahun yang lalu.
