Alhamdulillah.
Pada 14 hingga 16 Ogos 2026, Raia Hotel menerima kunjungan VVIP apabila Tuanku Sultan Pahang dan Putera Mahkota Pahang berkenan mencemar duli bersemayam di hotel kami.
Bagi tetamu biasa, mungkin mereka hanya melihat sebuah hotel yang kemas, selesa dan teratur. Tetapi bagi kami yang berada di belakang tabir, kehadiran seorang VVIP membawa cerita yang jauh berbeza. Apabila mendapat tahu Tuanku akan bersemayam di hotel, persiapan mula dilakukan dari segenap sudut. Setiap perkara perlu diperiksa dan dititikberatkan. Bilik, linen, kebersihan, laluan, kawasan sekitar, makan Tuanku dan segala keperluan Tuanku perlu dipastikan berada pada tahap terbaik.
Bukan kerana mahu menunjuk. Tetapi kerana kita membawa nama hotel dan dalam masa yang sama, kita memikul amanah untuk memastikan sepanjang tempoh Tuanku berada di sini, semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Itulah dunia kerja yang jarang dilihat oleh orang luar. Orang nampak tetamu masuk dengan senyuman. Orang nampak bilik sudah siap. Orang nampak semuanya berjalan seperti biasa. Tetapi di belakang semua itu ada sekumpulan manusia yang bekerja keras memastikan perkara-perkara kecil tidak menjadi masalah besar.
Dalam kesibukan membuat persiapan, ada satu perkara yang cukup menarik perhatian aku. Tuanku sendiri sangat bersahaja. Bila diajak bergambar, Tuanku tidak menunjukkan sebarang keberatan. Malah dengan tenang sahaja melayan permintaan kami.
Begitu juga dengan Tengku Mahkota Pahang. Sempat aku berbual dengan baginda dan yang paling membuat aku tersenyum apabila baginda bertanyakan umur aku. Hahaha… perkara kecil seperti itu mungkin biasa bagi sesetengah orang, tetapi bagi aku, ia menjadi satu kenangan yang akan aku simpan. Sebab kita bukan setiap hari berpeluang berdiri begitu dekat dengan seorang Raja dan Putera Mahkota.
Aku dan En Zahari Bergambar bersama Tuanku
Aku Pernah Terfikir Akan Sampai Ke Tahap Ini?
Kadang-kadang bila kita sedang sibuk bekerja, kita tidak sempat pun untuk berhenti seketika dan melihat sejauh mana perjalanan yang sudah kita lalui. Aku sendiri kalau dikenang kembali zaman awal mula bekerja, tidak pernah terlintas dalam fikiran aku bahawa suatu hari nanti aku akan berdepan dan bersua muka dengan Ketua-Ketua Negara, pemimpin-pemimpin serta tetamu kenamaan dari pelbagai negara. Aku bermula sebagai seorang linen porter. Kerja yang mungkin pada pandangan sesetengah orang tidak begitu besar. Tetapi dari situlah perjalanan aku bermula. Aku belajar tentang disiplin. Aku belajar tentang tanggungjawab. Aku belajar bahawa dalam industri hotel, walaupun kita bekerja di belakang tabir, tugas kita tetap penting.
Satu ketika dahulu, semasa aku bertugas di salah sebuah hotel di Langkawi, aku pernah diarahkan untuk menjaga bilik seorang Presiden Afrika Selatan.
Bayangkan… Seorang yang bermula sebagai linen porter, akhirnya diberi kepercayaan untuk menjaga bilik seorang pemimpin sebuah negara. Kalau aku fikirkan semula, memang kadang-kadang aku sendiri rasa seperti tidak percaya. Tetapi itulah kehidupan. Kadang-kadang Allah membawa kita ke tempat yang langsung tidak pernah kita bayangkan. Pengalaman ini mengajar aku satu perkara.
Jangan pernah malu dengan permulaan kita.
Jangan malu kalau kita bermula dari bawah.
Jangan malu dengan kerja yang orang anggap kecil.
Jangan malu dengan jawatan yang tidak mempunyai nama besar.
Kerana kita tidak tahu ke mana Allah akan membawa kita selepas itu. Hari ini mungkin kita hanya memegang tugas kecil. Esok mungkin kita diberi amanah yang lebih besar. Hari ini mungkin kita bekerja di belakang tabir.
Esok mungkin kita berdiri berhadapan dengan orang-orang yang selama ini hanya kita lihat di televisyen. Yang penting, buatlah kerja kita dengan sebaik mungkin. Kerana kadang-kadang rezeki bukan datang dalam bentuk duit semata-mata. Rezeki juga datang dalam bentuk pengalaman, kepercayaan, peluang, kenalan dan kenangan yang tidak boleh dibeli dengan wang. Dan itulah antara rezeki yang Allah berikan sepanjang perjalanan kerjaya aku.
Tetapi bagi aku, setiap langkah itu adalah tanda bahawa Allah sedang menyusun perjalanan hidup aku dengan cara yang jauh lebih indah daripada apa yang pernah aku rancangkan. Alhamdulillah atas segala rezeki. Alhamdulillah atas segala pengalaman. Dan paling penting, Alhamdulillah kerana Allah tidak pernah sia-siakan usaha orang yang mahu terus bekerja dan belajar.
Kita mungkin tidak tahu ke mana arah perjalanan hidup kita. Tetapi teruskan melangkah. Kerana boleh jadi, pekerjaan yang kita anggap kecil hari ini sebenarnya sedang menjadi jalan untuk Allah membawa kita kepada sesuatu yang jauh lebih besar pada masa akan datang.
Kita hanya merancang. Allah yang menentukan perjalanan. 🤲🏻