Sunday, September 27, 2026

Belanjawan Siapa Terkesan


Seperti biasa, apabila hampir masuk bulan Oktober, kami yang berada dalam industri hotel mula sibuk merangka budget untuk tahun 2027. Angka demi angka dikira, sasaran ditetapkan, dan akhirnya semuanya perlu dibentangkan kepada CEO serta pasukan pengurusan.

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan dapat disiapkan mengikut jadual. Tapi cerita aku kali ini bukanlah tentang budget hotel.


Sebahagian Dari Team Kami 

Ia berkisar tentang Belanjawan Kerajaan Malaysia yang dijangka dibentangkan pada minggu pertama Oktober. Hari ini, ada satu keratan akhbar yang bermain di media sosial mengenai kemungkinan gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada satu jumlah yang masih belum dipastikan. Kalau perkara ini benar-benar berlaku, bertapa beruntungnya adik-adik yang baru hendak memulakan kerjaya. Hehehe...

Kalau aku dulu mula bekerja, gaji pokok cuma RM230 sahaja. Tolak, tambah, darab dan bahagi, dapatlah lebih kurang RM700 lebih sebulan dengan segala elaun dan sebagainya. Zaman berubah.

Dari tahun ke tahun, kos sara hidup juga semakin berubah. Barang semakin mahal, keperluan hidup bertambah dan kerajaan tentunya perlu memikirkan pelbagai pendekatan untuk menangani perkara ini. Persoalannya, kalau gaji minimum dinaikkan, adakah masalah kos sara hidup akan selesai? Tepuk dada, tanya iman. Aku sendiri tidak ada jawapan yang mudah untuk persoalan itu.


Namun, aku berharap apa juga pendekatan yang diambil nanti benar-benar dapat memberi manfaat kepada anak-anak muda Malaysia. Terutamanya mereka yang baru hendak melangkah ke alam pekerjaan. Dan satu lagi pesan aku kepada adik-adik yang baru hendak membina kerjaya: Jangan terlalu memilih kerja. Ambillah peluang yang ada. Mulakan dari bawah. Kumpul pengalaman. Belajar sebanyak mungkin.

Sebab dalam dunia pekerjaan, bukan semuanya tentang berapa besar gaji yang kita dapat pada hari pertama. Kadang-kadang pengalaman, kemahiran, disiplin dan kenalan yang kita bina sepanjang perjalanan itu jauh lebih bernilai.

Kalau benar berlaku kenaikan gaji minimum, sudah tentu bukan pekerja sahaja yang akan terkesan. Antaranya ialah syarikat-syarikat swasta dan juga GLC. Apabila kos tenaga kerja meningkat, syarikat tentunya perlu melihat semula struktur kos dan sasaran pendapatan mereka untuk tahun 2027. Dan bila sasaran pendapatan dinaikkan... Siapa pula yang akan menjadi sasaran untuk memastikan sasaran itu tercapai?

Sudah tentu pasukan pengurusan perlu memikirkan pelbagai strategi. Bagaimana nak tingkatkan produktiviti? Bagaimana nak tambah revenue? Bagaimana nak kawal kos?Bagaimana nak pastikan pelanggan terus datang? Dan akhirnya... Hehehe...

Sakit kepala lagilah orang-orang macam aku dan sahabat sahabat aku. Begitulah dunia pekerjaan. Bila gaji naik, harapan pekerja meningkat. Bila kos meningkat, tekanan syarikat juga meningkat. Dan di tengah-tengah semua itu, orang seperti kami di bahagian pengurusan perlu mencari jalan supaya kedua-duanya dapat berjalan seiring. Aku selalu berpesan kepada adik-adik aku:

“Kalau makin tinggi pokok, makin kuatlah angin meniup.”

Maksudnya mudah. Kalau kita mahu naik lebih tinggi dalam kehidupan dan kerjaya, tanggungjawab dan cabaran yang datang bersama-sama dengannya juga akan semakin besar. Jadi jangan takut dengan cabaran. Belajarlah menghadapinya.

                                      
                                                       Team banyak akal , stress MC je  

Sebab mungkin satu hari nanti, adik-adik dan sanak saudara yang hari ini baru mula bekerja dengan gaji minimum itu pula yang akan duduk di kerusi pengurusan, merangka budget 2035 atau 2040. Dan masa itu... Sakit kepala mereka pula!

Hahaha. Itulah roda kehidupan.

Team Makan2, makan dan meeting berpisah tiada 


No comments:

Post a Comment