Saturday, September 12, 2026

Perjalanan Rohani

Aku Pendosa, Ingin Juga ke Syurga

Guru-guru selalu mengajar kita bahawa jodoh, rezeki dan ajal adalah rahsia Allah. Kita tidak tahu bila, di mana dan bagaimana semuanya akan berlaku.

Begitu juga dengan perjalanan ke Tanah Suci.

Kita boleh merancang, menyimpan duit, membuat persiapan dan memasang niat. Tetapi akhirnya, Allah juga yang menentukan siapa yang akan menjadi tetamu-Nya.

Pada suatu hari, aku bertanya kepada sepupu aku, Mizan, seorang insan istimewa atau OKU.

Aku tanya saja-saja…

“Mizan, hang nak pi umrah tak?”

Tanpa berfikir panjang, dia terus menjawab,

“Nak! Cek nak pi, Bang Ca!”

Aku terdiam sekejap. Dalam hati aku berkata,“Biar betul budak ni…”

Tapi daripada jawapan spontan itulah, bermulanya satu perjalanan yang aku sendiri tidak pernah sangka.

Bermula dengan Sebuah Janji

Pada cuti minggu aku, aku tunaikan janji kepadanya. Aku bawa Mizan untuk membuat pasport. Selepas itu, kami terus ke TH Travel untuk bertanyakan urusan pendaftaran umrah.

Dalam kepala aku ketika itu, macam-macam yang bermain. Boleh ke dia pergi? Lepas ke urusan dia? Ada banyak benda yang perlu diuruskan. Tetapi aku cuba buat satu-satu.Yang penting, dia sudah menyatakan hasrat. Dia nak pergi umrah.

“Cik, Kami Permudahkan Urusan Dia…”

Sampai di imigresen, aku periksa kad OKU Mizan. Aku tengok kad yang dia bawa sudah tidak seperti kad OKU yang baharu.Dalam hati aku terus berkata,

“Haa… sah kena balik dah ni. Sekejap lagi mesti tak boleh buat.”

Nombor giliran 6001 dipanggil.

Kami pun pergi ke kaunter. Aku terangkan kepada pegawai tersebut tentang urusan kami. Aku serahkan kad OKU Mizan. Pegawai itu melihat kad tersebut lalu berkata,

          “Cik, ini kad lama. Sekarang sudah ada kad baharu. Cik kena buat kad baru.”

Aku pun cuba menjelaskan keadaan.

     “Kad tu saja yang dia ada. Saya pun tak tahu sebab dia tak tinggal dengan saya. Boleh           tak cik tolong?”

Pegawai itu bertanya lagi, “Dia nak pergi mana?”  Aku jawab,“Nak pi umrah.”

Pegawai itu kemudian bangun dan pergi ke belakang.

Dalam hati aku sudah bersedia kalau-kalau kami terpaksa pulang. Tidak lama kemudian, pegawai itu datang semula ke kaunter. Lalu dia berkata sesuatu yang sampai hari ini masih aku ingat:

“Cik, kami permudahkan urusan dia.”

Aku hanya mampu jawab,

“Alhamdulillah…”

Saat itu aku terasa sesuatu.

Kadang-kadang apa yang kita fikir akan menjadi penghalang, Allah boleh bukakan jalan dengan cara yang kita sendiri tidak sangka.

Satu urusan selesai.

Kami pun terus menuju ke TH Travel. Sampai di TH Travel, seperti biasa Mizan masuk dengan wajah ceria.

Dia angkat tangan dan memberi salam kepada semua orang. Pegawai-pegawai di TH pun sempat mengusik dan bergurau dengannya. Aku pula sibuk mengambilkan beg untuk dia.

Tapi kalau nak tahu betapa seronoknya Mizan waktu itu…Allah saja yang tahu.

Dia bukan sekadar berkata nak pergi. Dia sudah mula merasakan bahawa dia benar-benar akan pergi. Balik ke rumah, satu kampung dia cerita.

“Aku nak pi umrah!”

Dia cerita kepada semua orang. Sampai boss di tempat kerja dia pun telefon aku.

“Lan, betul ke Jan nak pi umrah?”



Aku faham kenapa orang bertanya. Mungkin ada yang tidak percaya. Mungkin ada yang tertanya-tanya sama ada Mizan benar-benar mampu untuk pergi.

Tetapi aku terfikir…

Siapa kita untuk menentukan siapa yang Allah pilih?

Siapa Sebenarnya Yang Dijemput?

Kadang-kadang aku duduk seorang diri dan terfikir. Ada orang yang cukup duit. Ada orang yang sihat. Ada orang yang lebih berkemampuan. Ada orang yang sudah lama menyimpan hasrat untuk ke Tanah Suci. Tetapi belum sampai jemputan-Nya. Mizan pula…

Seorang insan istimewa. Dengan segala kekurangan yang ada pada dirinya, dia tiba-tiba berkata,

“Cek nak pi umrah.”

Dan selepas itu, satu demi satu urusannya dipermudahkan.

Imigresen dipermudahkan. Urusan pendaftaran dipermudahkan. Hatinya pula begitu kuat untuk pergi.

Aku terfikir…

Mungkin benar Allah sudah melambai kepadanya.

Mungkin Allah sudah menjemputnya dengan cara yang hanya Allah tahu. Kita selalu melihat seseorang berdasarkan apa yang ada pada dirinya. Tetapi Allah melihat dengan cara yang berbeza. Kita nampak kekurangan.

Allah mungkin melihat keikhlasan.

Kita nampak ketidakmampuan.

Allah mungkin melihat hati yang bersih.

Kita nampak seorang insan istimewa.

Tetapi mungkin di sisi Allah, dia mempunyai sesuatu yang jauh lebih istimewa daripada apa yang kita nampak.

Aku Juga Ingin Ke Syurga

Perjalanan ini sebenarnya bukan hanya tentang Mizan.

Ia juga mengajar aku sesuatu. Bahawa jangan pernah rasa diri kita terlalu baik untuk menghakimi orang lain. Dan jangan pernah rasa seseorang itu terlalu kecil untuk mendapat rahmat Allah. Aku sendiri bukanlah orang yang baik. Aku banyak dosa. Banyak kekurangan.

Banyak perkara yang aku masih perlu perbaiki. Tetapi dalam hati ini ada satu keinginan yang aku tidak pernah mahu lepaskan…

Aku ingin Allah ampunkan dosa-dosa aku dan seluruh keluarga dan sahabat2 . Aku ingin Allah terima taubat aku. Aku ingin satu hari nanti, Allah pandang aku dengan rahmat-Nya. Dan kalau benar Mizan sedang dilambai untuk menjadi tetamu Allah…aku tumpang bahagia. Malah aku tumpang berharap. Semoga Allah permudahkan perjalanan kami dari mula hingga pulang.  Semoga Allah berikan kami kesihatan dan kekuatan. Dan semoga perjalanan ini bukan sekadar perjalanan menuju Tanah Suci…

Tetapi menjadi perjalanan hati kami kembali kepada Allah.  Kerana akhirnya, kita semua sedang menuju tempat yang sama.Kita cuma tidak tahu… siapa yang akan sampai dahulu.

Ya Allah…

Jika benar Engkau telah melambai kepada kami, jangan Kau palingkan kami daripada jemputan Mu. Permudahkanlah. Lindungilah. Ampunilah. Dan terimalah kami sebagai tetamu-Mu.

Aku pendosa, ingin juga ke syurga.

Amin ya Rabbal ‘alamin.


No comments:

Post a Comment